Beberapa syarat telah ditetapkan oleh Lembaga Perumahan & Hartanah Negeri Selangor bagi pemilikan Rumah Selangorku. Pemohon perlu melepasi kesemua syarat ini.
Adakah anda layak memohon Rumah Selangorku? Berikut adalah syarat kelayakan Rumah Selangorku;

TARAF KEWARGANEGARAAN
Pemohon & pasangan haruslah berstatus warganegara Malaysia dengan memegang kad pengenalan biru.
Warganegara selain dari orang Selangor LAYAK memohon. Dengan kata lain, jika anda lahir di Johor dan sudah bermastautin di negeri Selangor, anda LAYAK memohon Rumah Selangorku ini.

PEMILIKAN RUMAH SEDIA ADA
Suami atau isteri belum membeli sebarang rumah di negeri Selangor.
Tetapi pemilikan rumah secara pusaka atau Rumah Selangorku jenis A selepas 5 tahun dikecualikan. Namun, kuota pemaju membolehkan pemilikan rumah ke-2.
Syarat ini adalah tertakluk kepada kuota yang diberikan oleh pihak Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri Selangor. Biasanya, kuota pemaju adalah 50% dari jumlah unit yang ditawarkan.

HAD UMUR DAN TARAF PERKAHWINAN
Bujang dan berumur 18 tahun ke atas pada tarikh pendaftaran layak memohon.
Walaubagaimanapun pemohon haruslah mempunyai pendapatan tetap setiap bulan.
Bagi ibubapa yang ingin membiayai pembelian rumah selangorku oleh anak yang masih belum bekerja dibolehkan dan perlu membuat akuan sumpah pembiayaan.

HAD PENDAPATAN ISI RUMAH
Jumlah gaji isi rumah haruslah tidak melebihi rm15,000 sebulan bagi Rumah Selangorku versi 2.0 dan tidak melebihi rm10,000 bagi Rumah Selangorku versi 3.0.
Gaji isi rumah dikira jumlah gaji suami + gaji isteri sebulan. Pendapatan ibubapa atau adik beradik adalah tidak dikira.
Walaubagaimanapun, gaji bekerja sendiri tertakluk kepada akuan sumpah. Pemohon perlu membuat akuan pendapatan mereka sendiri, bukan hasil revenue perniagaan mereka.